Thursday, September 14, 2006
:: Antara Yahudi & Kita ::

Al-Quran ubah keluarga Yousef al-Khattab

WALAUPUN berbangsa Yahudi, ia bukan penghalang kepada keluarga Yousef untuk menerima kebenaran dan memeluk Islam.


 

 

Susunan SITI AINIZA KAMSARI
SAAT ini tidak tergambar betapa bencinya perasaan terhadap golongan yang bernama Yahudi. Apatah lagi yang menghuni di sebuah negara haram,
Israel!

Ini kerana mereka mempunyai satu gerakan yang cukup zalim dan kejam tanpa mempunyai nilai-nilai ketamadunan manusia kecuali bernafsukan binatang. Rejim Israel menjadikan manusia yang lain umpama binatang buruan yang kemudiannya dibunuh dengan kejam. Tanpa ada sebarang peraturan dan undang-undang yang membataskan kecuali berpaksi kepada undang-undang rimba!

Walaupun mendakwa mereka mempunyai agama yang suci sebagai pegangan hidup. Istilah seperti Yahudi mabuk misalnya, merujuk kepada mereka yang hidup tiada pedoman dan sebagainya menggambarkan lagi betapa buruknya bangsa ini di pandangan masyarakat antarabangsa.

Namun masih ada Yahudi yang waras akalnya. Malah sanggup meninggalkan segala macam doktrin dan dogma Yahudi dan akhirnya mengakui kebenaran Islam dan memeluk agama itu tanpa sebarang halangan dan prejudis. Antaranya, Yousef al-Khattab yang seisi keluarga memeluk Islam dengan seikhlas hati sekali gus membuktikan Islam agama sejagat.

"Saya dilahirkan dalam keluarga Yahudi tetapi lebih bersifat sekular, iaitu kami tidak begitu taksub terhadap ajaran Taurat dalam setiap aspek kehidupan.

"Bagi kami, ruang lingkup agama adalah ibadat dan bukan untuk dijadikan cara hidup" katanya.

Ketika usianya mencecah 18 tahun, Yousef ingin melihat lebih jauh ke dalam agamanya sendiri, terutama dalam mempercayai kewujudan tuhan. Lantas memilih pengajian Rabbinical Orthodox Judaism ketika belajar di sekolah Yahudi.

Pada 1988, Yousef kemudiannya menyambung pengajian peringkat tinggi, iaitu yang dikenali sebagai Yeshiva dan memulakan perjalanan hidupnya dengan mengikuti secara kultus atau mengamalkan ajaran yang selama ini dipelajari secara teori.

Pada 1991, Yousef mengahwini seorang wanita berketurunan Yahudi, bernama Luna Mellul yang kemudiannya dikenali Qamar al-Khattab setelah memeluk Islam.

"Isteri saya berasal dari sebuah bandar yang dikenali sebagai Tetouan di Maghribi dan mendapat pendidikan di sebuah sekolah Yahudi untuk kanak-kanak perempuan, Sampson Raphael Bet Yaakov atau Bais Yakov setelah berpindah ke Manhattan Amerika Syarikat," kata Yousef.

Mereka dikurniakan Rachamin Cohen (kini dikenali sebagai Abdel Rahman) setahun kemudian. Perkahwinan yang dibina pada masa itu, penuh bahagia tanpa sebarang konflik.

Selepas kelahiran Rachamin, pasangan Yahudi ini kemudiannya menetap di sebuah komuniti Yahudi yang dikenali sebagai Satmar Hasidic di Williamsburg, Brooklyn Amerika Syarikat.

Ketika menetap di situ, Yousef mula mendapati ada sesuatu yang tidak kena apabila ajaran Yahudi tidak menjadi satu amalan agama yang baik malah penuh dengan pembohongan dan penipuan.

"Mereka menggunakan institusi seperti kuil Yahudi, synagogue dan institusi kewangan Yahudi, Bank Yeshiva untuk menggelapkan wang-wang sumbangan sehingga menjadikan kehidupan masyarakat Yahudi di situ agak teruk dan pengotor.

"Ini menyebabkan saya berasa tidak lagi sesuai menetap dengan komuniti di situ. Apa lagi untuk membesarkan anak-anak" katanya.

Sehingga 1998, pasangan ini dikurniakan tiga anak lagi iaitu Hesibeh, Abdul Aziz (dahulunya Ezra) dan Abdullah (dahulunya Ovadia).

"Sehingga ke saat itu saya masih mempercayai bahawa agama Yahudi merupakan satu ajaran yang benar" katanya.

Begitupun kata Yousef, beliau sebenarnya masih tidak begitu memahami ajaran sebenar agama itu kerana untuk memahami Judaisme ia terpaksa melalui tiga cara atau peringkat termasuk 'peringkat yang tersembunyi'.

Peringkat-peringkat itu sebenarnya menjadi sebahagian daripada teka-teki yang mengelirukan bagi mereka yang mengamalkan atau kultus Rabbinical.

"Anda tidak akan dapat belajar sehingga habis teks-teks Rabbinic kerana ada kalanya anda hanya perlu tunduk dan patuh kepada ketua agama yang dikenali sebagai rabbi (atau Elders of Zion) yang menentukan tahap-tahap tertentu untuk seseorang itu mempelajari agama Yahudi.

"Mereka inilah yang menterjemahkan agama Yahudi untuk anda dengan cara mereka yang tersendiri" kata Yousef.

Tetapi apabila rabbi dapat mengesan Yousef mula mempertikaikan ajaran Yahudi menyebabkan dirinya sentiasa diperhatikan.

"Rabbi hendak tahu ke mana kita hendak pergi dan dengan siapa kita berkawan, sehingga begitu sekali mereka mengawal penganut-penganutnya.

"Tidak cukup setakat itu, malah atas nasihat Rabbi, mereka meminta kami sekeluarga supaya berpindah untuk menetap di Palestin dan menjadi sebahagian penduduk dalam kerajaan Israel," katanya.

Ini kononnya agar pegangan Yousef terhadap ajaran Yahudi semakin kukuh kerana hidup dalam lingkungan agama dan penganut yang lebih kuat pegangan mereka terhadap agama Yahudi.

Pada September 1998, mereka sekeluarga menuju ke Tebing Barat Gaza dan menetap di sebuah penempatan Yahudi iaitu Gush Qatif di situ.

Walaupun diberi pelbagai kemudahan ketika di situ tetapi peristiwa anaknya, Rachamin) ditipu oleh gurunya menyebabkan Yousef semakin tidak mempercayai agamanya sendiri.

Rachamin ketika itu pulang dari sekolah dan sambil termengah-mengah kerana berlari beliau memberitahu bahawa guru yang mengajarnya di sekolah tidak menutup rambutnya dengan betul malah berpakaian menjolok mata.

"Anak saya dan para pelajar yang lain tidak diajar mengenai Taurat kerana sebahagian besar masa mereka dihabiskan dengan hanya bermain dan menyanyi" kata Yousef.

Peristiwa itu menyebabkan Yousef tekad berpindah walaupun ketika itu beliau sendiri berada dalam kesempitan wang dan harta.

Malah menurut Qamar, beliau tidak menyenangi keadaan dan corak kehidupan pendatang Yahudi di situ.

"Barulah saya mengenali siapa sebenarnya Yahudi. Antara lain sejak kecil anak-anak Yahudi yang hampir satu juta ramainya itu diajar supaya membenci dan menghina bangsa lain yang dianggap tidak layak mendiami bumi ini kecuali bangsa Yahudi.

"Ini merupakan sifat pentingkan diri sendiri yang paling teruk pernah saya jumpa. Walaupun kami Yahudi, kami menentang sikap-sikap bongkak seperti itu," kata Qamar.

Yousef kemudiannya memilih menetap di Netivot, iaitu sebuah penempatan yang telah dirampas hak miliknya daripada rakyat Palestin pada 1948. Sebuah pertubuhan parti politik yang bercirikan agama, Shas kemudiannya membantu Yousef memulakan kehidupan.

Mereka diberi sebuah rumah dan anak-anak Yousef dihantar ke sebuah sekolah persendirian sehingga anaknya berjaya menguasai bahasa Hebrew.

"Tetapi ketika menetap di situ saya berkenalan dengan seorang Arab Islam yang berasal dari Arab Saudi dan selama dua tahun perkenalan itu, kami sering menghabiskan masa bertukar-tukar pandangan mengenai agama masing-masing.

"Beliau sering bertanyakan kepada saya mengenai soal akidah dalam agama Yahudi untuk beliau bandingkan dengan tauhid uluhiah sebagai sebahagian daripada kepercayaan kepada monotheism dalam Islam" katanya.

Oleh kerana Yousef tidak mampu menjawab dengan baik mengenai pertanyaan kawannya itu, beliau merujuk kepada rabbi-rabbi Yahudi bagi mendapatkan jawapan yang lebih pasti, tepat, jelas dan logik.

Yousef begitu terperanjat apabila diberi hampir 1,001 jawapan yang berbeza-beza dan mengelirukan.

"Malah Rabbi tidak dapat menunjukkan kepada saya di mana perkataan atau nama tuhan (Yahweh) ada disebut dalam teks ajaran dan kitab Taurat.

"Ini menyebabkan saya semakin keliru terhadap pegangan saya selama ini. Lalu saya menuju ke penempatan Arab Palestin bagi mendapatkan senaskhah al-Quran yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris," katanya.

Buat sekian kalinya, Yousef mengalami kejutan apabila mendapati kitab al-Quran itu mampu memberikan jawapan yang beliau cari selama ini.

"Malah al-Quran bukan sahaja menjelaskan kedudukan dan siapa sebenarnya bangsa Yahudi tetapi Allah masih dengan begitu belas dan mengasihi mengajak orang Yahudi kembali ke ajaran Islam," kata Yousef yang begitu bersyukur memiliki al-Quran dan tidak sanggup melepaskannya.

Beliau sanggup menghabiskan masa membaca keseluruhan al-Quran yang menyebabkan beliau tidak teragak-agak meninggalkan agama Yahudi.

"Saya memeluk Islam kerana saya tidak mampu menolak sebuah ajaran yang di dalamnya penuh dengan kebenaran dan menjawab pelbagai persoalan terutama soal ketuhanan.

"Malah saya amat gembira kerana dua minggu selepas memeluk Islam, isteri saya pula memeluk Islam setelah beliau juga seperti saya mengkaji dan mendalami serba sedikit mengenai Islam terutama melalui al-Quran. Ini diikuti oleh anak-anak kami kemudiannya," katanya.

Akui Qamar, beliau terkejut dengan tindakan suaminya memeluk Islam kerana telah menjadi sebahagian dari ajaran agama Yahudi supaya membenci agama lain terutama Islam.

"Tetapi Yousef tidak memaksa saya mengikut jejak langkahnya kerana dalam Islam dibenarkan seorang lelaki Islam mengahwini wanita dari golongan ahli kitab.

"Tetapi saya juga ingin mengetahui apa yang Islam lakukan sehinggakan suami saya sanggup memeluk agama itu dengan saya sendiri cuba mengkaji mengenai Islam," jelas beliau.

Hasilnya, Qamar bangga mengakui kebenaran Islam. Kini Yousef sekeluarga menetap di Maghribi. Mereka gemar mendalami ajaran Islam dan bahasa Arab bagi mewujudkan keluarga Muslim yang sejati.

"Walaupun berdarah Yahudi namun Islam membuatkan bangsa ini tiada bezanya seperti bangsa-bangsa yang lain kecuali iman dan takwa sahajalah yang menentukan kedudukan masing-masing di sisi Allah, tuhan yang satu, tuhan yang wajib disembah," katanya


Posted at 10:09 am by keon2812
Comment (1)  

Tuesday, August 22, 2006
:: HadirMu Merubah Segala... ::

Tuhan,
acapkali aku bertemankan kata yg SATU
janji dan sumpah setia bagai mainan
aku yg hina managih limpah rahmatMU
aku cuba mendaki titian cintaMu
sungguh luas hikmah yg Kau taburkan
sungguh terpesona aku dengan mainan dunia
lantas aku makin jauh dr cintaMu Ilahi

Tuhan,
bersaksikan malam yg hening
aku mencari cinta yg Kau janjikan
aku menagih ketenangan yg kau janjikan
aku mendambakan kekuatan yg Kau berikan
aku menanti bilakah masanya penantian ini berakhir

Tuhan,
dalam diam mata ini basah
basah dengan dosa dan noda dunia
aku berpaling dr cinta suciMU
aku jauh dr tunjang kasihMu
aku terpesong dr landas jalanMu

Tuhan,
jangan biarkan aku trus menagih cinta dunia
bawalah aku pulang ke jalanMu
mendamba dan menanti rahmatMu
membawa aku ke daerah cinta yg ku impikan
ku nantikan gerbang cinta suciMu

Tuhan,
jangan palingkan hati ini jauh drMu...
tetapkan pendirianku di jalan istiqomah
pergantunganku hanya padaMu

 

cryKImp160306


Posted at 06:42 pm by keon2812
.: woRds 4 m3  

Thursday, August 17, 2006
:: Cara Tambat hati Rakan Dalam Pergaulan ::

Cara Tambat Hati Rakan Dalam Pergaulan
Oleh:
Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad, Ph.D
Perunding Motivasi
MAP Training and Consultancy Sdn. Bhd.

Setiap orang perlukan rakan dalam hidupnya. Hidup tanpa rakan dikatakan seperti kera sumbang. Ada rakan yang hanya sebagai kenalan, kita sekadar beberapa kali sahaja bertemu atau bercakap dengannya. Ada rakan yang sekadar sahabat biasa, iaitu seseorang yang kita kenal agak lama seperti rakan sekolah, rakan sekerja, rakan sekampung dan sebagainya tetapi tidaklah akrab dengan mereka. Ada rakan maya, iaitu yang kita kenal melalui laman sembang, internet, telefon dan e-mel. Ada pula rakan karib iaitu seseorang yang kita kenal secara mendalam, tahu hati budinya, tempat kita mengadu dan berbincang, dan orang yang tahu banyak rahsia diri kita.

Apa yang menariknya, ramai orang apabila semakin akrab hubungan persahabatannya maka makin sensitif jadinya. Malah makin kita ambil mudah dalam menjaga hubungan yang terjalin itu dengan alasan rakan sudah memahami kita. Kesilapan ini akan membawa kepada retaknya sebuah persahabatan dan ia perlu di atasi segera.

Dalam artikel kali ini saya akan berikan beberapa petua untuk menambat hati rakan dalam pergaulan seharian dan semoga hubungan silaturahim yang sedia terjalin menjadi satu hubungan yang hebat.

Fikir Sebelum Berkata

Sewaktu diperingkat awal kita berkenalan dengan seseorang kita sering berfikir terlebih dahulu apa yang mahu dikatakan agar tidak disalah faham, tidak dianggap kasar dan tidak mengguris perasaan orang lain. Malangnya, semakin akrab sebuah persahabatan perkara ini dianggap tidak begitu penting. Kita menjadi sebaliknya iaitu cakap dahulu baru berfikir. Kesannya, kita telah tanpa niat menyakitkan hati rakan dan yang peliknya kita anggap rakan tidak akan ambil kisah kerana dia sepatutnya telah memahami perangai kita. Jadi untuk menambat hati rakan dalam pergaulan fikirkan perkara berikut sebelum berkata-kata:

Adakah apa yang diperkatakan ini akan menyinggung perasaannya?
Adakah masa dan tempatnya sesuai?
Apa perkataan-perkataan yang mahu digunakan?
Apakah yang mahu dikatakan ini membawa sesuatu kebaikan?
Adakah ia penting?
Bolehkan keadaan rakan membolehkan dia terima gurauan ini?
Ada atau tidak kemungkinan apa yang mahu diperkatakan itu akan disalah erti?

Bukanlah bermakna setiap kali mahu bercakap maka semua perkara di atas mesti difikirkan serentak. Lihatlah keadaannya juga. Namun kerap kali dengan mempertimbangkan satu atau dua perkara yang disenaraikan di atas itu sebelum bercakap akan menyuburkan sebuah ikatan persahabatan kita.

Mesra Dalam Berkomunikasi

Kajian menunjukkan 55% komunikasi letaknya pada fisiologi iaitu gaya, gerak badan dan mimik muka, 38% kesan komunikasi letaknya pada nada suara dan hanya 7% sahaja bergantung kepada fakta. Oleh itu bagaimana kita menyampaikan sesuatu itu adalah lebih penting daripada apa yang disampaikan. Jadi beberapa perkara yang mesti dilakukan agar komunikasi antara kita dan rakan sentiasa mesra ialah:

- Sampaikan dalam senyuman
- Mulakan dengan mencari kebaikan kawan
- Bercakap dengan nada suara yang rendah dan lembut

Menjadi Pendengar Yang Baik

Hikmah manusia dijadikan dengan dua telinga dan satu mulut ialah agar kita lebih mendengar dari bercakap. Kerapkali kita gagal memahami apa yang dimaksudkan oleh rakan kerana tidak mendengar dengan baik dan ini membuatkan mereka rasa tidak dihargai. Sebagai rakan, kita sering dijadikan tempat untuk mengadu. Bila kawan dalam bermasalah kitalah jadi pendengarnya. Bila kawan tertekan, kitalah tempat dia melepaskan tekanannya. Bila kawan dimarahi, kitalah tempat dia minta dipujuk dan disejukkan hatinya. Oleh itu, peranan kita sebagai pendengar yang baik sangatlah penting. Untuk menjadi pendengar yang baik, lihat matanya ketika dia bercakap, angguk dan iyakan tanda kita mendengar, tidak memotong cakapnya, ulang kata-katanya tanda kita faham, gunakan seni sentuhan sebagai bukti kita ambil berat, dan memberikan pandangan apabila diminta berbuat demikian.

Memahami Sebelum Difahami

Orang lain tidak kisah apa yang kita tahu sehinggalah mereka tahu yang kita memang ambil kisah. Maksudnya, orang lain tidak akan pedulikan nasihat, teguran, pandangan, kata-kata dan idea kita sehinggalah mereka sedar bahawa kita sebenarnya ambil berat tentang dirinya. Sebab itulah penting bagi kita sebagai rakan memahami rakan kita dahulu dan mereka akan ambil langkah yang sama kelak untuk memahami kita pula. Faham sikapnya, tingkah laku dan tabiatnya, hobinya, pantangnya, cara fikirnya dan sebagainya.

Ingat Tarikh Lahirnya

Adakah kita ingat tarikh lahirnya? Sesiapa juga akan bangga apabila kita ingat tarikh lahirnya dan seterusnya memberikan ucapan kepadanya. Lebih mesra lagi apabila ucapan disertai dengan kad dan hadiah. Hadiah tidak semestinya mahal sebab yang berharga itu bukan nilainya tetapi mesej disebalik pemberian itu.

Akrab Dengan Keluarganya

Untuk menambat hati rakan maka kenalilah ahli keluarga terdekatnya seperti ibu bapa, isteri, anak-anak dan adik beradiknya. Lebih akrab lagi apabila kita ingat nama-nama ahli keluarganya ini dan sesekali menziarahi mereka. Ada ketikanya, apabila masalah timbul maka ahli keluarga terdekat inilah yang akan jadi penasihat tentang hubungan persahabatan kita. Adalah tidak rugi merapatkan hubungan dengan ahli keluarga sahabat kita sekurang-kurangnya kita tahu latar belakangnya dan dapatlah mengenali diri rakan itu dengan lebih dekat lagi.

Ketepikan Soal Remeh Temeh

Dalam pergaulan bersama rakan-rakan banyak perkara-perkara kecil yang berlaku setiap hari yang sepatutnya tidak perlu disimpan dihati. Lagi pun tiada siapa pun yang sempurna di dunia ini termasuk diri kita dan rakan kita juga. Kita akan lebih berjaya menambat hati rakan apabila kita menerima diri rakan itu seadanya. Iaitu kita bersahabat dengannya kerana kita tahu kelemahan dan kekurangan serta kebaikan dan kekuatan yang ada padanya. Kalau tindakan-tindakan rakan itu bertitik tolak dari kelemahan dirinya yang kita sedia maklum maka tidak perlulah kita ambil hati sangat.
Perkara-perkara yang remeh seperti sesekali menggunakan barang kita tanpa izin, terlupa hendah ucapkan terima kasih atas pertolongan kita, terlepas cakap sedikit dan sebagainya lagi adalah lebih baik tidak dikisahkan langsung. Apatah lagi kalau semua itu berlaku tanpa disengajakan atau tanpa niat.

Tegur Secara Membina Dan Berhemah

Untuk menambat hati rakan kita mestilah bersedia untuk menegurnya untuk kebaikan dirinya sendiri. Tetapi teguran itu bukanlah bertujuan untuk menjatuhkan maruah, memalukan atau merendah-rendahkannya. Sebaliknya teguran itu dibuat sebagai bukti bahawa kita ambil berat tentang diri rakan tersebut. Teguran itu mestilah membina dan disampaikan dengar cara yang paling baik hingga tidak menyentuh hati dan perasaan rakan.

Bersedia Memohon Maaf

Ada ketikanya kita melakukan kesilapan sama ada disengajakan atau tidak. Kesediaan kita untuk memohon maaf akan mengeratkan lagi perhubungan persahabatan itu. Memohon maaf bukanlah bererti jatuh ego kita sebaliknya ia membuatkan rakan lebih menghormati kita. Lama kelamaan rakan akan sedar bahawa kita adalah orang yang tidak hanya mementingkan perasaan dan diri kita sendiri. Maaf itu pula mestilah disegerakan dan ikhlas datang dari hati. Setelah permohonan maaf itu dibuat kita pula mestilah sanggup lupakan apa yang telah berlaku dan tidak diungkit-ungkitkan lagi perkara tersebut dimasa-masa yang lain.

Berikannya “Surprise”

Semua orang sukakan ‘surprise’ begitu juga rakan kita. Apa salahnya tanpa disangka-sangka kita berikannya hadiah, atau belanjanya makan, atau ajak dia ke tempat yang menarik dan sebagainya. Semua ini dilakukan tanpa kita mengharapkan apa-apa balasan selain dari usaha untuk menambat hati rakan agar persahabatan yang sedia terjalin semakin akrab.

Berikan Ucapan Syabas

Apabila rakan kita mendapat suatu kejayaan atau menerima sesuatu anugerah maka berusahalah untuk menjadi antara orang pertama dan terawal mengucapkan syabas kepadanya. Ucapan ini boleh dibuat sama ada secara berdepan atau melalui telefon, SMS, kad ucapan atau e-mel. Ada juga yang mengiklankan dalam akhbar ucapan syabas ini agar ia menjadi saat yang tidak dilupakan oleh rakan tersebut. Jangan pula kita menjadi orang yang cemburu, iri hati dan dengki atas kejayaan rakan kerana sikap sedemikian tidak membawa sebarang kebaikan dalam persahabat itu.

Ziarahi Rakan

Jadilah juga orang pertama dan terawal yang menziarahinya apabila sahaja kita dengar dia ditimpa musibah atau jatuh sakit. Ketika inilah rakan memerlukan sahabatnya dan kita perlu ada di sisinya. Berilah bantuan setakat yang terdaya sama ada dari segi sokongan moral, masa, tenaga, wang ringgit, buah fikiran dan sebagainya. Tolong uruskan apa yang patut untuknya agar beban yang dirasakan itu terasa berkurangan. Hari ini hari rakan esok lusa mungkin hari kita pula.

SEKIAN.


Posted at 03:07 pm by keon2812
Comments (2)  

Next Page


MkAr

P.E.


   

<< December 2009 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03 04 05
06 07 08 09 10 11 12
13 14 15 16 17 18 19
20 21 22 23 24 25 26
27 28 29 30 31



::Umur HiDuPku kiAn kuRanG::



>>RaDioAktif


>>IKIM.fm




Fi Lailateen - Muhammad husyan



::Sejadah kehidupanku ::




  • Portal Malaysia














    :: Links ::






  • If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



    rss feed